Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang hadir pada Istiadat Penghormatan Negeri bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching pada 22 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenazah Tun Abdul Taib selamat dikebumikan, Sultan Brunei antara ratusan hadir

KUCHING, 22 FEB: Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud selamat dikebumikan pada 2.19 petang di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya, di sini.

Keranda jenazah yang ditutupi dengan bendera Sarawak tiba di tanah perkuburan itu pada 1.40 petang dalam suasana hujan renyai.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakanda Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara ratusan hadirin pada istiadat pengebumian negeri tersebut.

Upacara dimulakan dengan bacaan talkin oleh Imam Besar Negeri Sarawak Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi disusuli penyerahan bendera Sarawak sebagai penghormatan tertinggi sebelum proses menyiram air mawar ke atas pusara dilakukan.

Jenazah Abdul Taib disemadikan bersebelahan dengan pusara isteri Allahyarham Toh Puan Laila Taib yang meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009.

Pagi tadi, jenazah dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir dari 8 hingga 11.30 pagi.

Solat jenazah kemudian diadakan di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham pada 12.56 tengah hari.

Abdul Taib, meninggal dunia pada usia 87 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam.

Kerajaan negeri memberikan penghormatan penuh dengan mengisytiharkan berkabung selama dua hari bermula semalam dan bendera di seluruh Sarawak dikibarkan separuh tiang dengan semua acara hiburan ditangguhkan.

– BERNAMA


Pengarang :