Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis amanat khas PM bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

JPA: Struktur gaji baharu penjawat awam dijangka umum dalam Belanjawan 2025

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Keputusan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan cadangan penambahbaikan itu akan dimuktamad dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

“Penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek perkhidmatan melalui portal semakan saraan yang telah dilancarkan sejak 7 Ogos 2023 di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac 2024,” menurut kenyataan itu.

JPA memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mesyuarat tersebut telah membincang dan menimbang inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

“Penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam merupakan satu daripada fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, Perdana Menteri turut memberikan penekanan kepada elemen-elemen pembaharuan perkhidmatan awam seperti pendigitalan sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan keseluruhan negara (whole-of-Nation).

Ia bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara.

— BERNAMA

 


Pengarang :