Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah di tiga cawangan Segi Fresh Sabtu ini

SHAH ALAM, 22 FEB: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan pelbagai barangan asas pada harga murah diadakan di tiga cawangan pasar raya Segi Fresh Sabtu ini.

Menurut Facebook Segi Fresh, jualan diadakan di cawangan Kayu Ara, Salak Tinggi dan Pulau Indah.

“Bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kami bekerjasama dalam misi memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan kos sara hidup.

“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti di Segi Fresh,” menurut pasar raya itu.

Jualan murah itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :