Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Dewan Orang Ramai Tok Muda, Klang pada 4 Februari 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/ SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah terus dapat sambutan, 200 ayam habis kurang dari sejam

KLANG, 4 FEB: Sebanyak 200 ekor ayam terjual dalam tempoh kurang sejam pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Dewan Orang Ramai Tok Muda hari ini.

Pegawai Penyelaras Parlimen Kapar Nasya Azwin Misnan berkata penduduk hadir sejak 8 pagi bagi mendapatkan nombor giliran ke jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pegawai Penyelaras Parlimen Kapar Nasya Azwin Misnan

“Kita sediakan 300 nombor giliran dan tidak sampai 30 minit selesai diagihkan kepada penduduk kerana rata-rata mereka teruja menunggu jualan murah ini kembali.

“Dalam tempoh kurang dari sejam, hampir 200 ekor ayam habis terjual. Turut dapat sambutan telur ayam, beras dan minyak selain produk-produk keluaran Ehsan seperti biskut,” katanya ditemui pada program tersebut.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :