EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Junjung titah Sultan, negeri teliti lantikan ahli majlis secara berperingkat

SHAH ALAM, 28 FEB: Pelantikan ahli majlis di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diteliti secara berperingkat mengikut kesesuaian, kata EXCO kerajaan tempatan.

Dato’ Ng Suee Lim menjelaskan perkara tersebut perlu dibuat secara berhati-hati selaras amalan Kerajaan Negeri yang mementingkan tadbir urus profesional.

“Kita menjunjung kasih keprihatinan Tuanku (Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) yang prihatin terhadap masalah rakyat.

“Ini akan dijadikan pedoman dan garis panduan. Kita akan laksana dan teliti menyeluruh secara berperingkat mengikut kesesuaian serta kebijaksanaan Dato’ Menteri Besar, usah khuatir,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Semalam, Sultan Selangor bertitah supaya ahli majlis PBT dianggotai sekurang-kurangnya 50 peratus golongan profesional dan tidak dimonopoli ahli politik semata-mata.

Baginda beritah langkah tersebut dapat membantu menangani segala masalah dan aduan rakyat dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang.


Pengarang :