AGENSISELANGOR

Karnival Perpaduan Rumpun Selangor peringkat Hulu Selangor 22 Februari ini

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 16 FEB: Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Perpaduan Rumpun Selangor peringkat Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu pada 22 Februari ini.

Menurut Pejabat Daerah/Tanah Hulu Selangor karnival bermula jam 9 pagi hingga 11 malam itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung termasuk pertandingan futsal kain pelikat.

“Antara pengisian aktiviti karnival ini adalah reruai pameran, pertandingan futsal kain pelikat, larian malam, pertandingan Zumba dan sepak raga ribu,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024, memperkenalkan Gagasan Rumpun Selangor bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini.

Amirudin berkata Karnival dan Jelajah Perpaduan Rumpun Selangor diadakan di sembilan daerah dengan peruntukan RM4.5 juta.

Pelbagai pengisian menarik diadakan antaranya jualan murah, sukan rakyat, saringan kesihatan, jerayawara, gotong-royong dan program bimbingan kerjaya.

 


Pengarang :