Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kematian akibat barah meningkat kepada 12.6 peratus pada 2022

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 menunjukkan barah adalah punca kematian keempat tertinggi di Malaysia, menyaksikan peningkatan kepada 12.6 peratus pada 2022 berbanding 10.5 peratus bagi tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Laporan Fakta Kesihatan Malaysia 2023, barah juga adalah antara punca utama kematian di hospital swasta meliputi 26.44 peratus dan yang keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 9.29 peratus.

“Kematian yang tinggi ini juga dapat dikaitkan dengan pengesanan penyakit di tahap yang lewat iaitu tahap III dan IV yang tinggi melebihi 60 peratus daripada keseluruhan barah yang dilaporkan, berdasarkan laporan oleh Registri Kanser Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata data Registri Kanser Malaysia menunjukkan bahawa sejumlah 168,822 kes baharu telah dilaporkan bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021 manakala barah payudara, barah kolorektal, barah paru-paru, barah limfoma dan barah hati merekodkan kadar insiden tertinggi bagi tempoh berkenaan.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia bertema Close the Care yang berlangsung hari ini, Dr Dzulkefly menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan selain aktif secara fizikal, tidak mengambil alkohol dan tidak merokok.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga perlu menyokong usaha KKM dalam mencegah penyakit barah di Malaysia seperti pemberian vaksin hepatitis B kepada bayi menerusi program Imunisasi Kebangsaan dan vaksin Papillomavirus Manusia (HPV) yang ditawarkan kepada remaja perempuan berumur 13 tahun.

“Jalani saringan kanser bagi tujuan pengesanan lebih awal kerana ia dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup, mengurangkan morbiditi dalam kalangan pesakit barah dan meningkatkan kualiti hidup pesakit barah,” katanya.

Dr Dzulkefly juga berkata pihaknya akan memastikan rakyat menerima perkhidmatan komprehensif yang tidak terikat kepada kemampuan termasuk penjagaan kesihatan bagi pesakit barah.

“Selain itu, misi dalam mempertingkat promosi kesihatan dan pencegahan penyakit termasuk kanser dengan memperkukuh fungsi kesihatan awam akan diteruskan melalui aktiviti promosi serta pencegahan terutama di fasiliti kesihatan primer KKM,” katanya.

Sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini memberi penekanan kepada penjagaan kanser yang memfokus kepada keperluan pesakit secara keseluruhan meliputi kepentingan kesejahteraan fizikal dan psikologi.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :