Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika mempengerusikan sesi dialog Malaysia Madani di hadapan ribuan orang ramai sempena majlis perasmian Program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 25 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kementerian berkaitan diberi tempoh hingga 20 Mac muktamad harga padi, beras

KUALA SELANGOR, 25 FEB: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) diberi tempoh sehingga 20 Mac bagi memuktamad harga padi dan beras.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan rakyat secara umumnya mahu harga beras turun atau terkawal bagi mengelak mereka terbeban dengan kos sara hidup.

Sementara pesawah padi pula, katanya mahu hasil mereka dinilai memandangkan beras merupakan sekuriti kerajaan.

“Dia ada masalah. (Harga beras) naik beban kepada pengguna, tidak naik beban kepada pesawah. Bagaimana mahu imbangi kedua-duanya? Pesawah padi ini antara kelompok miskin di negara kita.

“Jika semua (pesawah) tidak mahu tanam padi (dan) tukar (tanaman) lain untuk dapat pendapatan yang lebih, negara menghadapi risiko keselamatan makanan. Keselamatan makanan bergantung kepada pesawah,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Anwar berharap rakyat bersabar sehingga proses berhubung perkara tersebut dimuktamad kerajaan.

“Saya sendiri sudah bercakap dengan pengurusan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam mesyuarat Naccol baru-baru ini supaya mencari jalan berhubung pengimportan beras dan juga pengeluaran tempatan dinaikkan (selain agar) tiada masalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan ketua jabatan setiap kementerian mengemukakan laporan bulanan berhubung apa-apa projek untuk kepentingan rakyat bulan bagi memudahkan pemantauan.

Anwar menjelaskan usaha itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan menyelesaikan projek yang dijanjikan sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat.

“Umpamanya isu besar beberapa tahun lalu, projek tebatan banjir. Ia ambil masa panjang tetapi kalau tidak dipantau bulanan, pelaksanaan itu akan terbantut sehinggalah projek-projek kecil.

“Jadi kalau kita umum apa-apa projek, mesti ada laporan setiap bulan. Memang tugas itu bertambah sedikit tetapi ini cara orang yakin. Saya harap tradisi ini kita amalkan,” katanya lagi.


Pengarang :