Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong menyampaikan sumbangan kepada petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) Marlia Mohamed, 43, yang terlantar selepas kehilangan sebelah kaki akibat kencing manis pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat Kementerian Sumber Manusia di Seksyen 9, Shah Alam pada 5 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan kaji kaedah perlindungan sesuai untuk pengamal media, penggiat seni sambilan

SHAH ALAM, 5 FEB: Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong akan bertemu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam waktu terdekat bagi membincangkan kaedah perlindungan kepada pekerja dan wartawan sambilan atau ‘stringer’ yang melibatkan pengamal media serta penggiat industri seni.

Katanya ketika ini terdapat kira-kira 30,000 petugas berkenaan dalam negara, dan beliau berhasrat meluaskan liputan perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada mereka, antaranya menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang memberikan perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri.

“Sebab kita tahu terutamanya untuk pekerja industri media dan kreatif ini, waktu kerja mereka tidak tentu… dan mungkin ada insiden mendedahkan pekerja ini kepada bahaya di tempat kerja. Jadi kita faham ada keperluan mendesak untuk memberikan perlindungan kepada kumpulan ini.

“Saya telah menghubungi saudara Fahmi Fadzil selaku Menteri Komunikasi dan beliau juga mempunyai pendirian sama. Kita akan bertemu dalam waktu terdekat untuk membincangkan kaedah untuk memperluaskan liputan perlindungan Perkeso terutamanya kepada pekerja dalam sektor media dan industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kementeriannya bersama Perkeso kepada petugas bilik berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Marlia Mohamed, 43, di sini, hari ini.

Sementara itu, Marlia menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kementerian menyampaikan sumbangan CSR kepadanya sekali gus meringankan beban beliau, susulan hilang upaya kekal berikutan penyakit diabetis yang dihidapi sejak 2009.

Katanya beliau mula menghidap penyakit itu selepas melahirkan anak tunggal lelaki dengan kaki kiri terpaksa dipotong sehingga ke bahagian paha berikutan jangkitan kuman pada November lepas.

“Saya berterima kasih kepada kementerian serta Perkeso atas sumbangan peralatan seperti ‘katil elektrik’ serta kerusi roda. Sudah tentu saya berasa lega apabila dapat bantuan ini, sekali gus dapat meringankan beban yang dihadapi kini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :