Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian program Agrobandar Tanaman Melon di Persiaran Pandan 9, Ampang Jaya pada 24 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri ikut prosedur betul urus isu projek ECRL Sungai Chinchin

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

AMPANG JAYA, 24 FEB: Kerajaan Negeri mengikut prosedur yang betul dalam mengurus isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Sungai Chinchin.

Dato’ Menteri Besar berkata terpulang kepada penduduk sekiranya mahu memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang pembinaan projek berkenaan.

“Penduduk mempunyai hak berbuat demikan namun kita telah mengikut kaedah betul yang sebahagiannya telah diatur sejak pilihan raya umum lalu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan program Agro Bandar Tanaman Melon di Pandan Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat penduduk 13 kampung dan penempatan di Gombak Utara yang mahu memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang pembinaan projek ECRL Sungai Chinchin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau tanaman melon ketika majlis perasmian program Agrobandar Tanaman Melon di Persiaran Pandan 9, Ampang Jaya pada 24 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata mereka yang membangkitkan isu itu adalah hero kesiangan yang mahu mengambil kesempatan untuk menimbulkan isu.

“Mereka yang datang adalah orang luar. Saya akan berbincang dengan penduduk tapi jika mereka mahu ambil injunksi, terpulang itu hak mereka dan boleh teruskan.

“Namun kita akan cuba membantu kerana Kerajaan Negeri ada tanggungjawab untuk selesaikan projek ini sebaik mungkin kerana ia beri manfaat kepada ekonomi,” katanya.

Menurut Amirudin, projek berkenaan perlu diteruskan mengikut aturan ditetapkan bagi memastikan tidak ia tidak tertangguh.

“Sebenarnya pendirian Kerajaan Negeri sebelum ini tidak setuju dengan laluan utara dan mahu laluan selatan. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri berlembut untuk pertimbangan laluan utara kerana jika tidak buat begitu, Kerajaan terpaksa tanggung hutang yang panjang.

“Lebih banyak hutang akan ditanggung jika ditangguhkan lagi,” katanya yang turut menjelaskan tanah gantian di Sungai Chinchin babitkan sebahagian rizab yang diambil bagi laluan ECRL juga sedang dalam tindakan.

“Ini termasuk tanah ganti sekitar kawasan itu yang perlu diurus dengan kaedah wakaf. Saya sedang atur perbincangan bagi lindungi tanah berkenaan serta tanah perkuburan tradisi di kawasan tersebut.”


Pengarang :