AGENDAJENAYAH

Kerani wanita mangsa pinjaman tidak wujud rugi lebih RM20,000

SIBU, 29 FEB: Seorang kerani wanita berusia 30an kerugian RM23,734 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata dalam laporan polis yang dibuat di sini semalam, mangsa menerima pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman bank menawarkan pinjaman peribadi secara dalam talian pada 20 Feb lepas.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya bersetuju membuat pinjaman berjumlah RM20,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM600 selama lima tahun.

Beliau berkata mangsa telah diarahkan untuk menyerahkan salinan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pendaftaran permohonannya selain membuat pembayaran proses pinjaman berjumlah RM23,734 melalui tiga transaksi pindahan wang ke dalam dua akaun bank tempatan antara 21 dan 22 Feb lepas.

“Selepas kesemua transaksi pindahan wang dilakukan, wang pinjaman masih juga belum dikreditkan ke dalam akaun mangsa. Mangsa berasa curiga dan menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkipli berkata satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah, proses permohonan pinjaman yang cepat tanpa syarat yang ketat atau tanpa memerlukan sebarang penjamin di media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Wechat.

Mereka yang memerlukan sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh merujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

Orang ramai juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui pada laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

– BERNAMA


Pengarang :