Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menggaul yee sang ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat Selangor di IOI Resort City, Putrajaya pada 24 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kestabilan, keharmonian jadi faktor tarik minat pelabur ke Selangor

SHAH ALAM, 25 FEB: Persekitaran yang stabil dan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum menjadi antara faktor tarikan pelaburan ke negeri ini.

EXCO pelaburan berkata kebersamaan itu juga dapat menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada masyarakat terutama golongan muda.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han

“Pelabur dalam dan luar negara bukan sahaja bertapak selama setahun dua di Selangor, tetapi memberikan ruang perancangan masa panjang. Fakta dan data membuktikan pendekatan itu membuahkan hasil.

“Sehingga September tahun lalu, Selangor merekod jumlah pelaburan RM41.5 bilion merangkumi RM16.9 bilion dalam sektor pengilangan dan RM24.6 bilion dalam sektor perkhidmatan,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan.

Terdahulu beliau menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri di Putrajaya yang dihadiri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Persembahan tarian naga ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat Selangor di IOI Resort City, Putrajaya pada 24 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambah Sze Han kesalinghubungan antara kaum juga menghasilkan kebersamaan yang menyubur dan memeriahkan suasana di negeri ini.

“Kebersamaan ini dapat mengelakkan sebarang kelompok untuk mewujudkan keresahan ataupun kecurigaan.

“Dan merupakan pelantar yang mana keadaan ekonomi dapat terus diperbaiki dan diperkukuhkan,” katanya.


Pengarang :