Sekretariat Unit Komunikasi Korporat LPHS Muhamad Ahadzuddin Abdul Hamid ketika ditemui Selangorkini pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Khidmat daftar permohonan Rumah Selangorku di Program Madani Rakyat

KUALA SELANGOR, 24 FEB: Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menyedia khidmat pendaftaran permohonan rumah mampu milik pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini.

Justeru, Sekretariat Unit Komunikasi Korporatnya mempelawa orang ramai memanfaat perkhidmatan itu bagi memohon Rumah Selangorku sepanjang tiga hari program berlangsung.

“Kita akan terangkan langkah pendaftaran kepada pemohon yang berminat dengan mengimbas kod bar atau melalui video manual pengguna dalam sistem LPHS.

“Selepas pendaftaran, pemohon akan diterangkan syarat permohonan dan kelayakan sebelum meneruskan proses permohonan sekiranya berjaya didaftarkan dalam sistem,” kata Muhamad Ahadzuddin Abdul Hamid kepada Selangorkini.

Beliau turut memaklumkan kira-kira 15 projek Rumah Selangorku sedang dibangunkan di seluruh daerah negeri ini dengan kebanyakan dijangka siap menjelang 2025.

Barisan duta Platform Selangor (Plats) mempromosi insentif ditawarkan kepada peniaga ketika Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Sementara itu, Platform Selangor (Plats) mempromosi insentif ditawarkan agensi terbabit bagi membantu mengembangkan perniagaan usahawan negeri ini sepanjang program berkenaan.

Salah seorang dutanya Ahmad Shahir Asri Shukran berkata insentif itu seperti bantuan promosi kedai atau produk usahawan melalui laman sesawang khas Plats selain bengkel perniagaan.

“Untuk platform khas, kita masukkan semua senarai peniaga di Selangor yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

“Setakat ini, ada sejumlah peniaga yang didaftarkan pada program ini,” katanya menambah 10,000 peniaga berdaftar dalam Plats setakat ini.


Pengarang :