Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

KPN: Pegawai, anggota langgar tatatertib rosakkan reputasi PDRM

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pelanggaran tatatertib melibatkan pegawai dan anggota polis yang berlaku baru-baru ini menconteng arang selain merosakkan reputasi serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata sebagai warga PDRM yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden sedemikian berulang.

“Sekali lagi saya mengulangi peringatan kepada diri saya dan penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia pegawai serta anggota masing-masing daripada semua sudut.

“PDRM tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan seperti termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Razarudin berkata demikian ketika perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara bagi Februari 2024 anjuran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada 2 Februari lalu, Razarudin dilapor berkata semua pesuruhjaya polis, ketua polis negeri dan ketua polis daerah diminta memperkasakan peraturan 3C bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Sementara itu, RM31.44 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi pelaksanaan latihan untuk warga PDRM berbanding RM22.09 juta tahun lalu.

Beliau berkata 1,968 kursus, Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dan bengkel dirancang tahun ini berbanding 1,871 kursus, LDP serta bengkel dilaksanakan tahun lalu.

“Peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa PDRM serius dalam usaha meningkatkan tahap kompetensi sumber manusia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :