Foto diterbit semula daripada buku Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur karya Abdur-Razzaq Lubis cetakan 2018
AGENDABERITA UTAMABUDAYARENCANA

Kuala Lumpur kota warisan Selangor, mercu sejarah negara

Kuala Lumpur tumbuh mekar dari perusahaan timah puluhan tahun sebelum dijadikan ibu negeri baharu Selangor pada 1880. Namun perebutan kuasa termasuk berhubung isu perlombongan mencetuskan perang saudara.

Sebaik sahaja krisis politik berakhir, 1874, Kuala Lumpur yang menjadi pangkalan penting perlombongan di sekitar Ampang, Hulu Kelang dan Kanching mula pesat membangun.

Raja Abdullah yang dekat dengan Sultan Abdul Samad memajukan perlombongan pada 1857. Melihat usaha Raja Abdullah membawa pelombong Cina, Sutan Puasa yang mengetuai pendatang Sumatera juga berbuat demikian.

Asalnya sebesar kawasan Chow Kit atau Raja Bot di utara hingga ke Kampung Attap di selatan, Kuala Lumpur terus membina pentadbiran yang makin cekap.

Bandar yang disebut “kotor dan menyakitkan mata” pada 1882 kemudian bertukar kawasan “yang paling rapi dan cantik” berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Sebagai ibu negeri, dan tidak lama kemudian pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur akhirnya diisytihar ibu negara Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-50 penyerahan Kuala Lumpur sebagai wilayah persekutuan pada 1 Februari, ABDUL RAHIM SABRI menyingkap tarikh, lokasi dan peristiwa penting sepanjang 100 tahun bandar raya ini sehingga 1974.

Foto di atas dirakam pada 1879 ketika Sultan Abdul Samad berangkat melawat kawasan ini yang sedang pesat dengan perlombongan. Menurut buku Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur, sebahagian besar pekan ini dibangun semula susulan perang saudara pada 1873.

Menurut sejarahwan terkenal JM Gullick, peta 10 menunjukkan lakaran pekan ini pada 1895, sementara peta di bawahnya  gambaran kasar penempatan menjelang 1880.

HAFIZAN TAIB pula memilih sejumlah foto menarik perjalanan sejarah dari penempatan kampung pada 1880 hingga tragedi berdarah pada 1963.

Imej diterbit semula daripada buku Sejarah Selangor, 1766-1939 karya JM Gullick cetakan 2022

 

Imej diterbit semula daripada buku The Story of Kuala Lumpur 1857-1939 karya JM Gullick cetakan 1983

 

1874

Pada Ogos, Selangor menerima penolong residen Inggeris, Frank Swettenham, yang juga penasihat kepada Sultan Abdul Samad, sultan Selangor keempat. Beliau kemudian menjadi residen Selangor antara 1882 hingga 1889.

Pada Disember, JG Davidson pula ditugas sebagai residen pertama.

Pengaruh kolonial ini berpunca, antaranya, daripada krisis politik dan perang saudara yang berlarutan antara 1866 hingga 1873. Walau sering digelar Perang Klang tetapi pertempuran besar terjadi di Kuala Lumpur.

 

1880

Pada Mac, Sultan Abdul Samad memindahkan ibu negeri dari Klang ke Kuala Lumpur, kota yang dibina daripada pertemuan dua sungai, Gombak dan Klang.

Pegawai-pegawai kerajaan berbangsa Eropah berpindah ke Kuala Lumpur, membina penempatan di tebing barat Sungai Klang.

Sungai itu menjadi pemisah di antara petempatan mereka dan Cina.

 

1881

Kebakaran besar meranapkan bangunan kayu dan daun atap pada 4 Januari. Kejadian itu telah memusnahkan hampir seluruh bandar. Bah besar pula melanda pada 21 Disember.

Banjir itu menghanyutkan jambatan utama (lintasan Lebuh Pasar) dan menenggelamkan sebahagian besar bandar termasuk rumah agam kapitan ketiga Yap Ah Loy.

Banjir besar sering melanda Kuala Lumpur, antaranya 1910, 1911, 1926 dan 1971.

Selepas kebakaran itu, kerajaan mengarahkan semua bangunan dibina dengan batu bata. Brickfields dibuka bagi membangunkan industri bahan binaan tersebut.

Deretan rumah kedai diperbuat atap rumbia dan kayu di Kuala Lumpur pada 1880. Sejak
kebakaran besar setahun kemudian, semua bangunan dibina menggunakan batu bata. Foto Arkib Negara Malaysia

 

1886

Landasan kereta api yang pertama sejauh kira-kira 31.4 kilometer dari Bukit Kuda, Klang ke Kuala Lumpur dibuka pada 15 September.

Stesen pertama terletak kira-kira satu kilometer utara dari bangunan sedia ada sekarang, iaitu berdekatan dengan Market Street (sekarang Lebuh Pasar Besar) dan Victory Avenue (sekarang Jalan Sultan Hishamuddin).

 

1888

Pasar utama di tebing Sungai Klang dibuka Yap Ah Loy sebagai bekalan makanan penduduk dan juga pelombong bijih.

Sering dikenali Central Market atau CM, bangunan pasar berukuran 250 kaki darab 90 kaki, yang mempunyai lantai konkrit dan berjubin yang boleh dibasuh.

Pasar baharu yang lebih mudah dijaga kebersihannya dibina atas tapak ini pada 1936. Binaan ini diubahsuai, dibuka semula pada 1986 untuk pelancong dengan nama Pasar Seni.

Pasar barang basah seperti ikan, daging dan sayur-sayuran pada 1920-an. Binaan ini siap diubah suai pada 1986 untuk tarikan pelancong dengan nama baharu Pasar Seni. Foto Ihsan Arkib Negara Malaysia/Malaysia A Pictorial History 1400-2004

 

1896

Kuala Lumpur dijadikan pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu – Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan – mulai 1 Julai.

Frank Swettenham dilantik residen jeneral pertama yang tinggal di Carcosa Mansion (kini, Carcosa Seri Negara), dibina pada 1897 dan siap setahun kemudian.

Pemusatan ini untuk mewujudkan pentadbiran dengan lebih cekap. British perkenal Enakmen Lombong pada 1899.

 

1897

Bangunan Pejabat Kerajaan Kuala Lumpur di pinggir muara Sungai Klang-Sungai Gombak siap. Ia dibina mulai September 1894.

Ia dipanggil bangunan Sultan Abdul Samad mulai 1974. Seni binanya disebut sebagai ‘gaya Mahomaten’, meniru aliran seni bina yang serupa di India.

Suasana Sungai Gombak dari seberang Pejabat Kerajaan Kuala Lumpur pada 1920. Bangunan itu kemudian dikenali Bangunan Sultan Abdul Samad mulai 1974. Foto Arkib Negara Malaysia

 

1898

Muzium Selangor dibuka sekitar Dataran Merdeka sebelum dipindah ke istana Bukit Nenas (juga dikenali Bukit Gombak) pada 1906.

Kemudian dipindah ke bangunan baharu pada 1914 iaitu tapak Muzium Negara sekarang.

 

1899

Penubuhan tempat perjumpaan penduduk dan rumah tumpangan yang didaftar sebagai sebuah kelab dua tahun kemudian.

Pada 1909, bangunan Sultan Sulaiman Club (bawah) dibina di atas tanah yang diwakafkan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, pengganti Sultan Abdul Samad, di Kampung Baru.

Ditukar nama Kelab Sultan Sulaiman pada 1967,bangunan ini mencatat sejarah penting politik negara antaranya, kongres Melayu pertama pada Mac 1946 dan juga tempat berlindung orang Melayu ketika insiden 13 Mei 1969.

Pada 1940, tempat ini digunakan untuk Kongres Wartawan Melayu Se-Malaya. Ketika bah besar melanda ibu kota pada 1971, dewan ini digunakan sebagai pusat pemindahan banjir.

 

1900

Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru dilulus setelah desakan dibuat setahun sebelumnya.

Ia bertujuan memajukan orang Melayu dalam pertanian, perdagangan dan menyediakan penempatan baharu.

Frank Swettenham mencadangkan penubuhan sebuah institut patologi untuk menyelidik punca, cara rawatan dan pencegahan wabak penyakit tropika yang belum diketahui.

Cadangan ini dibuat susulan syor Persidangan Berlin pada 1885. Pakar patologi di Pusat Kajian Perubatan Tropika di London, Dr Hamilton Wright, dilantik pengarah pertama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

 

1903

Sidang kedua Durbar empat raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu diadakan di Kuala Lumpur pada Julai.

Sultan Idris dari Perak menggesa Inggeris melantik lebih ramai orang Melayu terlibat dalam perkhidmatan kerajaan dan diberi jawatan lebih tinggi.

Idea penubuhan Askar Melayu Diraja dan Kolej Melayu Kuala Kangsar bermula daripada sidang ini. Soal hal-ehwal Islam dan bahasa Melayu turut dibangkitkan oleh Raja-Raja Melayu.

Sidang pertama Durbar, sejarah awal Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, di Kuala Kangsar berlangsung selama empat hari berakhir pada 17 Julai 1897.

Persidangan Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Durbar) kedua di Taman Tasik
Perdana, Kuala Lumpur pada 1903. Sidang pertama berlangsung pada 1897. Foto Arkib Negara Malaysia

 

1908

Sultan Alauddin Sulaiman Shah, pengganti Sultan Abdul Samad, meletakkan batu asas pembinaan Masjid Jamek di muara dua sungai penting.

Reka bentuknya disediakan oleh arkitek terkenal Arthur Benison Hubback.

Masyarakat Melayu menyumbang $12,000 untuk menampung biaya pembinaan dengan nilai keseluruhan $32,615.

Pada 23 Disember 1909, Baginda merasmikan pembukaan masjid bersejarah ini, selain turut memberi sumbangan peribadi kepada tabung masjid.

Panorama Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 1910. Masyarakat Melayu menyumbang
$12,000 bagi menampung kos pembinaan. Masjid itu dirasmikan pada Disember 1909. Foto Ihsan Arkib Negara Malaysia/Malaysia A Pictorial History 1400-2004

 

1910

Pembinaan stesen kereta api (lama) Kuala Lumpur siap. Rancangan untuk membina stesen baharu dibuat akhir 1906 oleh Arthur Benison Hubback bawah seliaan Charles Edwin Spooner, pengurus besar FMS Railways.

Reka bentuk bangunan dilukis Hubback selama lebih empat bulan hingga bulan keempat 1908 sebelum persetujuan Pesuruhjaya Tinggi di Singapura Sir John Anderson diberikan pada Mei 1908.

Di sebelahnya, sebuah hotel dengan 30 bilik.

Ia dibuka pada 1 Julai. Sultan Alauddin Sulaiman Shah dan Gabenor Inggeris Sir John Anderson antara penumpang pertama. Bangunan ini jadikan harta warisan negara pada 1983.

Bangunan asal Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada 1893 menempatkan landasan
pertama sejauh 31.4 kilometer dari Klang. Bangunan sekarang dibina pada 1910. Foto Arkib Negara Malaysia

 

1920

Hospital Kuala Lumpur ditambah baik kepada 25 wad, meningkat daripada tiga wad sewaktu dibuka sebagai sebuah hospital daerah pada 1870.

Panggung Colesium di Jalan Tuanku Abdul Rahman dibuka, kafe di sebelahnya yang sering dikunjungi tokoh politik termasuk Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dibuka pada 1921.

Selepas 99 tahun beroperasi, kafe ini terpaksa ditutup pada Mac 2021 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan pandemik Covid-19.

 

1942

Pada 11 Januari, tentera Jepun masuk ke Kuala Lumpur tanpa banyak penentangan setelah Inggeris meninggalkan bandar ini. Dengan segera, pusat pentadbiran utama (kini Bangunan Sultan Abdul Samad), stesen kereta api dan penjara Pudu ditawan.

 

1945

Setelah tewas susulan serangan bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun menyerah kalah. Majlis penyerahan di Kuala Lumpur diadakan pada 13 September dan 22 Februari 1946.

Orang ramai menyaksikan perarakan kemenangan tentera Britain selepas tamat Perang
Dunia Kedua di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad pada 1945. Foto Ihsan Arkib Negara Malaysia/Malaysia A Pictorial History 1400-2004

 

1946

Kongres Melayu pertama diadakan di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Ia disertai 41 pertubuhan pada 1 hingga 4 Mac sebagai membantah Malayan Union.

Ia membangkitkan gelombang kemarahan orang Melayu termasuk Raja-Raja. Kongres ini digerakkan, antaranya, Pengerusi Pergerakan Melayu Selangor Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) dan Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung Dato’ Onn Jaafar.

Kongres dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, yang menyokong penuh penubuhan sebuah persatuan umat Melayu yang kuat bagi menjamin kepentingan orang Melayu.

Kongres ini menjadi bibit awal pembentukan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) pada 10 Mei dalam Kongres Melayu ketiga di Johor Bahru. Dato’ Onn Jaafar sebagai pemimpinnya.

 

1948

Satu perjanjian antara Raja-Raja Melayu dan Sir Edward Gent, wakil kerajaan Britain, dimaterai di Carcosa Seri Negara pada 21 Januari.

Perjanjian itu sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari. Perjanjian ini diisytihar secara rasmi menjadi Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada tarikh tersebut.

Mulai tarikh itu, kedudukan Raja-Raja Melayu dikembalikan termasuk syarat kerakyatan orang asing dan hak-hak istimewa orang Melayu.

Perjanjian ini memansuhkan Malayan Union dan menyatukan 11 negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Ia menjadi asas kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Dikenali juga King’s House, bangunan ini diberi nama Carcosa oleh Frank Swettenham berdasarkan novel The King in Yellow, karya Robert W Chambers, yang terbit pada 1895.

Tapak tanah ini diserahkan semula kepada Malaysia pada 1984.

 

1950

Kerajaan Selangor menyewa rumah agam dua tingkat, yang dibina pada 1928, di Jalan Istana, sebagai sebuah istana. Gedung ini dijadikan istana sementara Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj sehingga tempoh pajakan tamat pada Februari 1957.

Selepas merdeka, Kerajaan Persekutuan membeli $1.4 juta untuk dijadikan Istana Negara tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong Pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad.

Istana Negara yang pertama ini kini dijadikan Muzium Diraja mulai 1 Februari 2013 setelah kompleks baharu dibangunkan di Jalan Tuanku Abdul Halim.

Istana Negara yang baharu beroperasi sepenuhnya semasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong XIII Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 11 November 2011.

 

1952

Pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur diadakan pada 16 Februari. Parti Perikatan menang sembilan daripada 12 kerusi. Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato’ Onn Jaafar menang dua kerusi, dan Bebas satu kerusi.

Pilihan raya ini diadakan untuk menyediakan peluang kepada parti politik untuk mendapat kerusi dan mentadbir sendiri majlis tempatan. Ia merintis jalan menuju kemerdekaan negara.

 

1955

Tunku Abdul Rahman menjadi ketua menteri Persekutuan Tanah Melayu selepas pilihan raya umum pertama yang berlangsung 27 Julai. Parti Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Kabinet pertama dibentuk pada 31 Julai dengan persetujuan pesuruhjaya tinggi Britain dan kemerdekaan bakal dicapai dalam tempoh dua tahun lagi.

 

1956

Stadium Merdeka mula dibina pada 25 September dan berjaya disiapkan 10 hari sebelum laungan Merdeka. Menelan belanja $2.3 juta, stadium ini dibuka secara rasmi sehari sebelum sambutan kemerdekaan.

Pembinaannya mengambil masa enam bulan sahaja daripada tarikh peletakan batu asas pada 15 Februari 1957 agar sambutan kemerdekaan dapat dilangsungkan.

Pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka. Mula dibina sejak 25
September 1956, stadium itu siap 10 hari sebelum detik bersejarah 31 Ogos 1957. Foto Arkib Negara Malaysia

 

1957

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj melaungkan “Merdeka” tujuh kali di Stadium Merdeka pada 31 Ogos.

Majlis paling bersejarah ini disaksikan lebih 20,000 orang termasuk Raja-Raja Melayu, tetamu khas dari luar negara dan anggota Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad ditabal Yang di-Pertuan Agong pertama pada 2 September. Istiadat pertabalan berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. (bawah)

Empat lagi Yang di-Pertuan Agong ditabal di dewan bersejarah ini: Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamallulail (4 Januari 1961), Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin (11 April 1966), Tuanku Abdul Halim Muazzam Shah Sultan Badli Shah (20 Februari 1971), Tuanku Yahya Petra Sultan Ibrahim (28 Februari 1976).

Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, sultan selangor keenam, dilantik Yang di-Pertuan Agong kedua pada 1 April 1960 tetapi tidak sempat ditabal. Baginda mangkat pada 1 September 1960, tarikh Baginda dijadual ditabal.

Bangunan yang menempatkan dewan ini sekarang dikenali Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).

 

1959

Persidangan pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu pada 12 September juga berlangsung di dewan ini. Sidang ini dirasmikan Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad.

Persidangan itu dihadiri 104 ahli parlimen yang dipilih dalam pilihan raya umum 19 Ogos.

Bangunan ini asalnya kediaman seorang pelombong dan pengusaha ladang getah tetapi diubah suai untuk jadikan dewan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 

1960

Parlimen meluluskan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190). Akta ini dibaca bersama Perkara 154 Perlembagaan Persekutan.

Bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur (ketika itu Majlis Perbandaran Kuala Lumpur di bawah kerajaan Selangor) telah dipindahkan dari senarai kerajaan negeri ke kerajaan persekutuan sepenuhnya.

Jawatan pesuruhjaya ibu kota Kuala Lumpur juga diwujudkan mengikut akta ini yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menguruskan pentadbiran bandar ini, yang diisytihar bandar raya pada 1 Februari 1972.

 

1962

Institusi pengajian tinggi pertama negara Universiti Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1 Januari. Ia asalnya gabungan Kolej Perubatan King Edward VII (1905) dan Kolej Raffles (1928) di Singapura.

Canselor pertamanya Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, yang juga perdana menteri.

Kampus universiti terletak di barat daya Kuala Lumpur dan bersempadan dengan Petaling Jaya. Di sebelahnya, di tengah Lebuhraya Persekutuan, tersergam pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang menjadi lambang penting sempadan wilayah baharu persekutuan dengan Selangor.

 

1969

Rusuhan kaum pada 13 Mei bermula di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru. Darurat diisytihar di Kuala Lumpur. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj merakam peristiwa ini dalam buku May 13: Before and After.

Bangunan Kelab Sultan Sulaiman dijadikan tempat perlindungan orang Melayu yang lari dari kawasan berdekatan dan sekitar Chow Kit. Ia juga dijadikan markas sementara tentera dan Pasukan Polis Hutan (kini, Pasukan Gerakan Am).

Keadaan Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Tragedi bermula dari kawasan berdekatan di Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Foto Ihsan Arkib Negara Malaysia/Malaysia A Pictorial History 1400-2004

 

1972

Kuala Lumpur diisytihar bandar raya pertama di Malaysia pada 1 Februari.

Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein menyampaikan surat pengisytiharan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kepada Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Ong Kee Hui di Parlimen.

Pesuruhjaya Ibu Kota Tan Sri Lokman Yusuf dilantik datuk bandar pertama Kuala Lumpur.

 

1974

Upacara menandatangani Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai wilayah persekutuan diadakan di Istana Negara pada 1 Februari.

Selangor diwakili Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, sementara kerajaan pusat pula diwakili Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah. (atas)

Majlis itu disaksikan antaranya Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan Menteri Besar Selangor Dato’ Harun Idris.

Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (dua dari kiri) menandatangani Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai wilayah persekutuan, kerajaan pusat diwakili Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara pada 1 Februari 1974.

Pengarang :