EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim membuat lawatan turun padang ke lokasi cat jalan bercahaya di jalan B17-Sungai Tekali dan B19-Sungai Lalang, Hulu Langat pada 15 Februari 2024. FOTO NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Laluan berkilau dalam gelap di 15 lokasi, tingkat keselamatan pengguna

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

HULU LANGAT, 16 FEB: Kerajaan Negeri mengenal pasti 15 lokasi jalan di sembilan daerah untuk dilaksanakan laluan berkilau dalam gelap atau ‘glow in the dark’ bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan perbelanjaan sebanyak RM900,000.

“Setakat ini JKR telah mengenal pasti 15 lokasi di sembilan daerah membabitkan keseluruhan panjangnya 15 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan turun padang ke lokasi cat jalan bercahaya di jalan B17-Sungai Tekali dan B19-Sungai Lalang di sini,semalam.

Laluan bercahaya atau glow in the dark di jalan B17-Sungai Tekali, Hulu Langat. FOTO NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Turut hadir Jurutera Awam Penguasa Jalan JKR Selangor Asri Md Esa dan Jurutera Daerah Hulu Langat Zamri Mohamud.

Pada masa sama, Ir Izham turut menjelaskan pelaksanaan laluan bercahaya itu bertepatan dengan program Selangor Bercahaya yang kini mempunyai 600 tiang lampu diod pemancar cahaya (LED) di seluruh negeri.

“Untuk tahun ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM150 juta untuk penambahan lampu LED di lokasi tumpuan dan ia sememangnya memberi manfaat kepada pengguna jalan raya.

“Sama seperti pemasangan lampu LED, kita juga akan minta maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika ada lagi kawasan mereka memerlukan laluan bercahaya ini,” katanya lagi.


Pengarang :