EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan) dan Penolong Pengurus Besar Kompleks IOI City Mall Wilfred Wong (kiri) pada sidang media sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor 2024 di Invest Selangor Bhd, Citypark, i-City, Shah Alam pada 15 Februari 2024. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 15,000 dijangka meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina negeri

SHAH ALAM, 15 FEB: Lebih 15,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di pusat beli-belah IOI City Mall pada 24 Februari ini.

EXCO pelaburan berkata Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dijangka mencemar duli ke majlis itu.

Menurut Ng Sze Han, program bertema ‘Perayaan Muafakat’ bakal diserikan dengan lima persembahan utama selama 45 minit selain pemberian angpau kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Majlis ini bakal menyaksikan penampilan pelbagai persembahan kebudayaan iaitu gabungan tarian tradisional di Malaysia seperti tarian singa, gamelan, drum dan orkestra.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan, tradisi pemberian angpau juga akan dibuat kepada kanak-kanak serta agihan limau,” katanya pada sidang media di pejabat Invest Selangor Berhad di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melwat ke reruai jualan dan pameran ketika Majlis perasmian Program Balik Kampung Festival Tahun Baharu Cina 2024 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata majlis yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu turut diisi dengan bengkel serta aktiviti kesenian seperti lukisan jubin naga, tanglung buatan sendiri dan sebagainya.

Sze Han menambah pihaknya turut menyediakan van transit atas permintaan (DRT) bagi membawa pengunjung dari 60 lokasi sekitar Serdang dengan caj serendah RM2.

“Jadual lokasi dan waktu operasi van DRT oleh Mobiliti Selangor itu boleh disemak menerusi aplikasi Trek App di Apple Store dan Google Play Store,” katanya.


Pengarang :