Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Bandar Baru Klang di Jalan Tepi Sungai pada 5 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 30 kali kunjungi JER, pesara beli untuk jiran, saudara-mara

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 5 FEB: Seorang pesara tentera memanfaatkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) dengan berbelanja lebih 30 kali sejak perkenalkan dua tahun lalu.

Mohd Yusuf Mohd Rejab, 68, berkata beliau selalu membantu saudara-mara atau jiran membeli keperluan asas murah seperti beras dan telur.

Mohd Yusuf Mohd Rejab

“Saya tinggal di Andalas dan setiap kali ada jualan murah sekitar Klang saya akan pergi.

“Tidak kiralah perlu beratur panjang atau menunggu lama tetapi bagi saya berbelanja di sini banyak mengurangkan kos perbelanjaan,” katanya.

Beliau ditemui pada program peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Jalan Tepi Sungai di sini hari ini.

Menurut Mohd Yusuf, kualiti barangan JER sangat bagus dan beliau adakalanya menyedekah beras yang dibeli kepada golongan memerlukan.

Gan Mei Mei

Bagi Gan Mei Mei, 74, beliau tidak pernah mensia-siakan peluang apabila JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dianjur berdekatan rumahnya.

“Seawal 8 pagi lagi saya datang beratur untuk dapatkan angka giliran.

“Walaupun tidak membeli banyak tetapi barangan asas seperti telur dan ayam sangat berbaloi kerana harga murah,” katanya.

Warga emas, Khamsiah Kassim, 70, pula berharap jualan murah itu dapat diteruskan kerana memberi manfaat kepada penduduk.

Khamsiah Kassim

“Saya selalu berkunjung ke jualan murah ini dan seronok melihat harga semuanya murah.

“Datang awal untuk dapatkan nombor dan disediakan tempat duduk memudahkan warga emas seperti saya dapat berbelanja dengan lancar,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).


Pengarang :