Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama penerima pada majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media serta Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah di Hotel Concorde, Shah Alam pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 40 ajaran sesat secara fizikal, dalam talian dipantau pihak berkuasa

SHAH ALAM, 22 FEB: Lebih 40 ajaran sesat di Selangor yang dikenal pasti aktif menyebarkan ajaran songsang secara fizikal mahupun dalam talian dipantau pihak berkuasa di negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pihaknya sentiasa membuat pemantauan terhadap kumpulan atau individu yang cuba memesongkan ajaran agama Islam.

“Secara umum kita di Selangor berusaha sedaya-upaya supaya ajaran sesat dapat dipantau dengan teliti dan pada masa sama cuba memulihkan mereka.

“Di Selangor kita ada Pusat Pemulihan Baituliman Mais iaitu badan yang ditubuhkan untuk memulihkan individu (sesat) ini, kita ada ahli ulama yang akan membantu kembalikan mereka ke pangkal jalan,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap ketika majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media serta Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah di Hotel Concorde, Shah Alam pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Mais 2024 di Hotel Concorde di sini semalam.

Mengakui sukar mengesan individu terlibat dalam ajaran sesat, Abdul Aziz berharap mereka yang terlibat dalam ajaran songsang itu kembali ke pangkal jalan.

“Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis turut bekerjasama bagi memantau dan mengenal pasti kumpulan atau individu terlibat dengan ajaran sesat dan setakat ini lebih 40 (ajaran sesat) dilaporkan di negeri ini,” ujarnya.

Antara ajaran sesat yang dikesan dan dipantau termasuk Asma Al Husna, Millah Abraham, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau ajaran Sittah Annur dan Rasul Melayu.


Pengarang :