AGENDAJENAYAH

Lelaki berpaut belakang treler bergerak di lebuh raya dicari polis

JOHOR BAHRU, 17 FEB: Polis Johor sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan berbahaya dengan berpaut pada belakang treler sedang bergerak di lebuh raya seperti tular di laman sosial Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tan Seng Lee berkata pihaknya menyedari insiden itu pada 12 tengah hari semalam selepas video tular di media sosial di pautan https://www.facebook.com/puteri.farah.330/videos/911531420565764/21 dorvanity=756572531692398.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku di kilometer 35 Lebuhraya Link Kedua menghala ke Senai pada Khamis lalu jam 10 pagi.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori Scania dari Kangkar, Pulai menghala ke kawasan Perindustrian Senai dan dia tidak menyedari terdapat lelaki berpaut di belakang kenderaan dipandunya.

“Pemandu berumur 36 tahun tersebut mendakwa hanya menyedari perkara itu setelah rakannya menghantar video viral berkenaan. Pemandu tersebut hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes untuk tampil di IPD Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 0167573507.

Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 16 saat menunjukkan aksi, seorang lelaki berpakaian gelap dan menggalas beg, berdiri dan berpaut pada belakang treler yang bergerak laju.

Video dipercayai dirakam pemandu lain yang melalui jalan sama.

– BERNAMA


Pengarang :