AGENDAJENAYAH

Lelaki buta mata kiri mengaku tidak bersalah rogol anak kandung 16 tahun

SEREMBAN, 1 FEB Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol anak kandungnya berusia 16 tahun pada November lepas.

Lelaki berusia 47 tahun itu yang mengalami cacat penglihatan mata sebelah kiri akibat kemalangan, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Lelaki itu didakwa merogol remaja itu di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru Kota, Rembau, pada 12 Nov lepas dan didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bapa kepada tiga anak itu dalam rayuannya berkata dia mabuk pada hari kejadian dera itu dan turut memaklumkan dia berstatus Orang Kurang Upaya selepas kehilangan sebelah mata dalam kemalangan dan juga menanggung bapanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul dan menendang anak perempuannya berumur 17 tahun hingga cedera, di sini, pada 24 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata lelaki itu turut disiasat bagi kesalahan merogol, selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah yang memaklumkan remaja itu memberitahu pernah dirogol bapanya pada 12 Nov tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :