Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Lima anggota polis Unit Pasukan Peronda ditahan bantu siasatan kes pemerasan

BUKIT MERTAJAM, 3 FEB: Lima anggota Unit Pasukan Peronda (MPV) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan seorang pekerja kilang sehingga kerugian RM4,500 dalam kejadian di Permatang Tinggi di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata lima anggota berumur 24 hingga 48 tahun itu ditahan 11.15 malam tadi di Bukit Mertajam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada lelaki berusia 27 tahun.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan secara terperinci dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes jenayah atau rasuah.

“Dalam kejadian 10.15 malam Khamis lalu, mangsa yang sedang memandu kereta mendakwa ditahan dua kereta MPV polis yang mengarahkannya berhenti di tepi jalan dan tiga anggota kemudian membuat pemeriksaan terhadapnya.

“Semasa pemeriksaan, seorang daripada anggota polis menjumpai satu beg plastik mengandungi serbuk disyaki dadah di dalam kereta mangsa, namun dia menafikan beg plastik itu sebelum polis terbabit mengatakan dadah itu milik mangsa dan boleh dikenakan hukuman berat,” katanya di sini hari ini.

Khaw berkata mangsa mendakwa sebuah lagi kereta MPV yang dinaiki dua anggota polis datang ke situ sebelum mangsa diarah membayar RM10,000 jika tidak mahu ditangkap.

Selepas berbincang, beliau berkata mangsa diminta membayar RM4,500 dan dia pergi mengambil wang di sebuah bank berhampiran dan menyerahkan wang itu sebelum membuat laporan polis.

Menurut Khaw, kesemua lima anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah itu kini direman empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Saya beri jaminan yang siasatan terhadap mereka akan dijalankan secara terperinci dan dibuat sama seperti mana-mana penjenayah walaupun suspek anggota polis.

“Amanat Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada 1 Februari lalu tentang tindakan salah laku pegawai dan anggota polis akan diambil tindakan tegas serta disiasat secara telus, akan dilaksanakan terhadap mana-mana polis yang bertugas di Pulau Pinang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :