AGENDANASIONAL

Lima penunggang hampir maut, motor terbabas sebelum dilanggar treler

BUKIT MERTAJAM, 26 FEB: Lima penunggang motosikal nyaris maut selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri dan terbabas ke jalan raya sebelum dilanggar sebuah lori treler di laluan sama dalam kejadian di Kilometer 132.4 Lebuhraya Utara Selatan menghala selatan, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu berlaku pada 4 pagi membabitkan lima lelaki tempatan berumur 19 hingga 34 tahun.

“Pihak polis pada 11 pagi tadi telah terkesan sebuah video tular berdurasi 14 saat di laman sosial memaparkan kejadian sebuah lori terlibat kemalangan jalan raya dengan beberapa motosikal dan hasil siasatan kami mendapati ia berlaku awal pagi semalam.

“Kemalangan itu disyaki berlaku apabila lima motosikal terbabit disyaki telah bergesel sesama sendiri dan terbabas di atas jalan raya sebelum dilanggar lori treler yang berada di laluan sama dan tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Helmi berkata akibat kemalangan itu, lima penunggang motosikal berkenaan dipercayai mengalami kecederaan ringan.

Helmi berkata setakat ini, tiada pihak sama ada pemandu lori treler atau mana-mana penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kemalangan itu supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat di cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT melalui talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan kemalangan itu di kawasan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sama Gagah, di sini dan dipercayai kumpulan motosikal terbabit bersaing sesama sendiri sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

-BERNAMA


Pengarang :