Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini (dua, kiri)dan Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir (tiga, kiri) pada Program Simbolik Bantuan Agihan Pendidikan 2024 di Pusat Konvensyen Bangi, Hulu Langat pada 8 Februari 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS belanja lebih RM33 juta bantu pendidikan 70,283 anak asnaf tahun ini

HULU LANGAT, 8 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan bantuan sebanyak RM33.4 juta kepada 70,283 penerima bagi keperluan kelengkapan persekolahan dan yuran tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata penerima terdiri daripada pelajar prasekolah hingga menengah dalam kalangan keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Menurutnya bantuan diagih melibatkan 1,235 murid prasekolah, 32,708 murid sekolah rendah kebangsaan atau sekolah rendah agama dan 36,340 murid sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama.

“Setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima bantuan kelengkapan sekolah pada kadar RM170, sekolah rendah agama (RM150) manakala sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama (RM200).

“Bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM250 seorang turut diberi bergantung kepada tahap persekolahan mereka selain bantuan tambahan RM100 disalurkan kepada semua pelajar bagi menampung keperluan persekolahan lain.

“Diharap bantuan ini dapat meringankan beban dan menceriakan anak-anak untuk terus semangat ke sekolah demi masa depan,” katanya.

Beliau berucap pada Program Simbolik Bantuan Agihan Pendidikan 2024 yang disempurnakan Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir di Pusat Konvensyen Bangi di sini hari ini.

Penerima bantuan bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir pada Program Simbolik Bantuan Agihan Pendidikan 2024 di Pusat Konvensyen Bangi, Hulu Langat pada 8 Februari 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Sementara itu, suri rumah Norharina Norhalim, 42, berkata bantuan berjumlah RM1,400 amat membantu menampung perbelanjaan persekolahan tiga anaknya.

Beliau yang lumpuh separuh badan akibat penyakit darah tinggi berharap dengan pendidikan sempurna anaknya kelak dapat menjadi pembayar zakat sekali gus membantu mereka yang memerlukan.

Penerima, Nor Faizah Musa, 48, berkata bantuan RM1,500 untuk empat anaknya akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk yuran dan keperluan persekolahan.

“Dengan pendapatan tidak menentu suami sebagai pemandu teksi, bantuan ini sangat membantu membuat persiapan persekolahan anak tambahan pula ada anak mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini,” katanya.

Bermula 10 Februari hingga 10 Mei 2024 penerima bantuan boleh mengunjungi mana-mana pasaranya ditetapkan LZS mengikut daerah masing-masing untuk membuat penebusan kelengkapan persekolahan berdasarkan kadar bantuan diterima.

Manakala pemberian bantuan yuran persekolahan akan disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucar tunai (v-cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes tertentu.

 


Pengarang :