Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap ketika majlis pelancaran Pelan Antirasuah Mais di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais junjung titah Sultan, komited bantu jawatankuasa khas

SHAH ALAM, 16 FEB: Majlis Agama lslam Selangor (Mais) menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang meminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya komited memberi pandangan bagi memudahkan Jawatan Kuasa Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri menganalisis peruntukan undang-undang sedia ada.

“Mais komited untuk bersama-sama membantu jawatankuasa itu dalam memberi sumbang saran dan idea untuk memudahkan jawatankuasa menganalisa dan mencadangkan keadah terbaik bagi memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri.

“Selain menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana hasrat DYMM Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Putrajaya pada 15 Februari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office

Semalam, Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan MKI ke-71 bertitah mengenai kepentingan usaha mencari jalan mengatasi isu itu dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Berikutan itu, Baginda menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari jawatankuasa khas berkenaan.

Abdul Aziz juga menyambut baik hasrat Sultan Selangor untuk memperkukuh pendidikan lslam di Selangor khusus kepentingan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar tahfiz agar memahami makna sebenar ayat al-Quran.

Menurutnya, Mais telah menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan lslam dan Tahfiz Selangor bagi memastikan pelaksanaan program pendidikan lslam di negeri ini dilaksana dengan berkesan.

“Mais menyeru agar semua umat lslam di Selangor tidak menyalahgunakan agama demi kepentingan peribadi bagi mengekalkan keharmonian dan kemuafakatan dalam negara.

“Selain itu, para ilmuwan lslam diseru untuk meraikan perbezaan pendapat serta menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta memenuhi saluran yang betul,” katanya.


Pengarang :