Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyertai program Darul Ehsan Berselawat sempena program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB bersama lebih 5,000 umat Islam alun zikir, selawat

KUALA SELANGOR, 23 FEB: Alunan zikir dan selawat oleh lebih 5,000 pengunjung bergema di Stadium Kuala Selangor di sini pada program Darul Ehsan Berselawat, malam tadi.

Acara yang dianjur sempena program Madani Rakyat Zon Tengah itu dihadiri Dato’ Menteri Besar diiringi Habib Ali Zaenal Abidin, Habib Najmuddin Al-Khered dan Habib Nael Ben Taher.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum orang ramai diperdengarkan alunan selawat oleh kumpulan Nur Ahli Badar selain tausiyah yang dipimpin Habib Nael dan Habib Najmuddin.

Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan ringkasnya meluahkan rasa tenang melihat umat Islam di negeri ini meluangkan masa menyertai acara Darul Ehsan Berselawat.

“Saya rasa aman dan damai melihat perkumpulan kita. Inilah keinginan dan cita-cita saya untuk melihat rakyat Selangor berkumpul bersama hati-hati yang baik.

“Sebab itu kita anjurkan Darul Ehsan Berselawat dan ia akan diteruskan ke seluruh daerah tahun ini jika berkesempatan untuk menyuburkan jiwa-jiwa umat Islam di negeri ini,” katanya.

Amirudin menutup ucapannya dengan mengetuai alunan selawat Asyghil bersama peserta. Selawat Asyghil bertujuan memohon kepada Allah agar umat Islam diselamatkan daripada orang yang zalim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyertai alunan zikir dan selawat pada program Darul Ehsan Berselawat sempena program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGOR

Kemuncak majlis disempurnakan dengan tausiyah oleh Habib Ali yang menceritakan ciri-ciri golongan beriman dan diakhiri penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada seorang pemenang.

Pemenang cabutan bertuah, Rozanna Abdul Latif, 38, tidak menyangka dapat membawa pulang hadiah pakej umrah yang diidam-idamkan sejak sekian lama.

“Saya langsung tidak sangka nama saya akan dipanggil. Mula-mula saya ingatkan nama orang lain. Tetapi kawan menegur bahawa nama saya dipanggil naik untuk ambil hadiah.

“Saya mungkin akan bawa ibu bersama mengerjakan ibadat umrah atau hadiahkan pakej umrah ini kepadanya. Saya masih belum buat keputusan kerana masih terkejut,” kata kakitangan kerajaan ini.

Sementara itu, juruteknik, Mohd Nazrin Abdul Aziz, 33, sanggup mengambil cuti separuh hari dan memandu sejauh lebih 80 kilometer untuk mengimarahkan program Darul Ehsan Berselawat.

Beliau yang hadir bersama anak sulungnya, Muhd El Akhtar, 6, berkata ini merupakan program selawat negeri keempat yang dihadirinya dan berhasrat untuk terus menyertai majlis sama pada masa akan datang.

“Saya tidak menyewa hotel di sini. Saya ambil cuti separuh hari dan akan memandu pulang ke Cyberjaya selepas tamat acara. Saya dan keluarga memang suka hadir ke program kerohanian.

“Saya harap ia dapat dianjurkan selalu kerana majlis keagamaan seperti ini amat diperlukan rakyat. Saya pasti akan cari masa untuk datang lagi,” katanya.

Pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin menyampaikan tazkirah ketika program Darul Ehsan Berselawat sempena program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Ribuan umat Islam menghadiri program Darul Ehsan Berselawat sempena program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Ribuan umat Islam menghadiri program Darul Ehsan Berselawat sempena program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Kuala Selangor pada 23 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :