Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pejabat SUK Selangor di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 7 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB galak penjawat awam daftar Padu, permudah agihan bantuan

SHAH ALAM, 7 FEB: Lebih 27,000 penjawat awam Selangor digalak mendaftar dan mengemas kini maklumat masing-masing dalam Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Dato’ Menteri Besar menjelaskan ia bagi memastikan penyaluran maklumat lebih tepat dalam proses pemberian bantuan dan program yang direncana kerajaan.

“Kita galakkan untuk semua terlibat sebab ia akan beri maklumat lebih tepat kepada proses pemberian subsidi dan perancangan program kerajaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas sesi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.


Orang ramai mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) di kaunter yang disediakan Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor ketika tinjauan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 4 Januari 2024. Foto BERNAMA

Jabatan Perangkaan Selangor menerusi Facebook memaklumkan seramai 420,000 individu di Selangor mendaftar dan mengemas kini maklumat dengan sistem Padu setakat semalam.

Sistem yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari mengandungi profil penduduk untuk membantu kerajaan melaksanakan dasar secara bersasar.

Ia bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.

Pangkalan data itu juga menjadi rujukan berpusat untuk memastikan mereka yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan atau perlindungan sosial.

Pendaftaran dan kemas kini maklumat boleh dibuat antara 2 Januari hingga 31 Mac menerusi pautan https://www.padu.gov.my.


Pengarang :