Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama tetamu sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre pada 24 Februari 2024. Foto Ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kekalkan keharmonian, pupuk perpaduan, persefahaman masyarakat berbilang kaum

AMPANG JAYA, 25 FEB: Lebih 1,500 pengunjung memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre, di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar berkata penganjuran rumah terbuka itu bukan sahaja bagi meraikan masyarakat Tiong Hua dalam Parlimen Gombak malah mengeratkan hubungan keharmonian antara masyarakat.

Menurut Dato Seri Amirudin Shari sambutan itu juga bertujuan memupuk perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum sekali gus menyemarakkan semangat Malaysia Madani.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre pada 24 Februari 2024. Foto Ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar

“Sebagai pemimpin bertanggungjawab memimpin negeri paling maju dan menjadi punca kepada kegiatan ekonomi negara, saya janji untuk mengekalkan keharmonian ini yang amat penting dalam sesebuah negara.

“Keharmonian ini juga demi memastikan rakyat hidup selesa, hormat-menghormati dan saling memahami meski ada perbezaan tetapi ia bukan alasan punca perbalahan kaum yang mungkin boleh menyebabkan hancurnya negara yang sudah merdeka bertahun-tahun,” katanya ketika berucap.

Turut hadir menyerikan majlis Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli.

Dalam majlis sama, Amirudin turut berkongsi kejayaan negeri itu yang merekodkan antara tiga negeri terbaik daripada pelaksanaan projek pembangunan.

“Menerusi Rancangan Malaysia ke-12, Selangor berjaya mencatat kesempurnaan pelaksanaan projek 99.6 peratus dan kita merupakan antara tiga negeri terbaik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi angpau kepada kanak-kanak sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre pada 24 Februari 2024. Foto Ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar

“Saya percaya ini merupakan tanda positif untuk negeri dan negara kita kembali pulih,” ujarnya.

Terdahulu, Amirudin turut menyempurnakan tradisi menggaul yee sang bersama tetamu jemputan dan menyampaikan angpau Tahun Baru Cina kepada kanak-kanak.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa dan naga, orkestra Cina dari Persatuan Murid-murid Tua Sekolah San Yuk, Rawang dan tarian kipas panjang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggaul yee sang bersama tetamu jemputan sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre pada 24 Februari 2024. Foto Pejabat Dato’ Menteri Besar

 


Pengarang :