Lagenda Badminton Negara Datuk Mohmed Misbun Dato’ Mohd Sidek melakukan servis badminton sebagai gimik ketika Majlis Perasmian Pameran Anak-anak Sidek di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Kunjungi Pameran Anak-anak Sidek, telusuri kejayaan lima beradik

SHAH ALAM, 3 FEB: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat di negeri ini khususnya berkunjung ke Pameran Anak-anak Sidek yang sedang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pameran itu juga peluang terbaik kepada semua pihak untuk menelusuri kejayaan lima beradik itu yang membanggakan Malaysia.

“Pameran Anak-anak Sidek berlangsung selama enam bulan bermula 1 November lalu adalah peluang kita mengenal lebih mendalam dan melihat sendiri pelbagai koleksi piala, pingat, gambar dan barangan milik mereka.

“Rakyat Selangor boleh datang bawa keluarga dan kenalkan sejarah ini kepada generasi muda. Moga menjadi inspirasi dan kekuatan kepada kita semua,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah Amirudin, kejayaan adik-beradik yang membesar di Banting, Selangor itu juga wajar dikenang apabila mereka berjaya merangkul Piala Thomas pada 1992.

“Malah Selangor juga sekali lagi bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 dari 13 hingga 18 Februari depan.

“Ini peluang baik kita menelusuri kejayaan yang membawa kebanggaan kepada negara,” katanya.

Pameran Anak-anak Sidek yang diadakan sehingga 30 April depan menceritakan kisah kejayaan keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar yang berjaya membentuk lima anak lelakinya sebagai pemain badminton ternama dunia.

Allahyarham hanya melatih Misbun, Razif, Jalani, Abdul Rahman dan Abdul Rashid di gelanggang kediamannya di Kampung Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat.

Antara koleksi dipamerkan adalah pingat kejuaraan kejohanan dunia World Cup Badminton, Men Doubles Winne, All England, Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea dan cenderamata dihadiahkan kepada mereka lima beradik.

Sebagai tarikan, sepanjang pameran secara percuma itu berlangsung turut diadakan pertandingan teka bulu tangkis, kuiz, pertandingan mewarna dan klinik badminton.


Pengarang :