Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam pada 3 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBPJ galak peniaga bazar Ramadan teruskan moreh, elak pembaziran

PETALING JAYA, 9 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggalakkan peniaga bazar Ramadan terus laksanakan aktiviti moreh tahun ini.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata program memasuki tahun kedua itu bagi mengelak pembaziran makanan selain mendidik peniaga bersedekah.

“Alhamdulillah, sambutan tahun lalu menggalakkan apabila hampir 100 peniaga sertai moreh manakala bagi 2024 setakat ini kita menerima pendaftaran lebih 300 peniaga yang berminat.

“Jualan makanan atau minuman yang dijual setiap hari itu akan diberi kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dengan kerjasama ahli majlis kawasan.

“Saya mempelawa mana-mana yang belum daftar untuk beramal jariah dalam bulan Ramadan ini, segera berhubung dengan MBPJ,” katanya.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon mengangkat sumpah sebagai datuk bandar Petaling Jaya ketujuh di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sesi Cabutan Undi Petak dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan 2024 di Dewan Sivik MBPJ di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zahri turut mengingatkan peniaga berniaga dengan tertib dan menjaga kebersihan bagi mengelak didenda.

“Tahun lalu, MBPJ membelanjakan lebih RM60,000 bagi kerja pembersihan dan 246 notis diberi manakala tujuh kompaun dikeluarkan kepada peniaga ingkar.

“Kita berharap tiada lagi aduan timbul tahun ini dan semoga semua peniaga dapat mematuhi syarat ditetapkan selain menjaga kebersihan serta nama baik bandar raya ini,” katanya.


Pengarang :