Orang ramai memenuhi gerai untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan PKNS, Shah Alam pada 3 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA keluar 1,134 permit bazar Ramadan di 27 lokasi

SHAH ALAM, 26 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 1,134 premit bazar Ramadan kepada penjaja tahun ini.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata 27 lokasi tapak disediakan iaitu di Seksyen 6, 7, 8, 9, 13, 16, 17, 18, 19, 20, 24, 25, 27, 28, 35, U2, U3, U5, U8, U13 dan U20.

“MBSA juga menyelaras pengeluaran 936 permit bazar Ramadan di bawah penganjuran pihak swasta, persatuan atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Terdapat 12 lokasi yang diluluskan antaranya di Stadium Shah Alam Seksyen 13, Kompleks PKNS Seksyen 14, Seksyen 20, Seksyen U10, Seksyen U20,” kata Mohd Azhar Mohd Sharif dalam kenyataan.

Tambah beliau, MBSA melaksanakan kelainan bagi permohonan permit bazar tahun ini dengan memperkenalkan sistem ujian secara atas talian.

“Melalui sistem ini, peniaga perlu menonton video mengenai syarat-syarat pelesenan MBSA dan tatacara pengendalian makanan serta pengurusan sisa sebelum menjawab soalan yang disediakan secara atas talian.

“Sistem ujian ini merupakan usaha MBSA untuk meningkatkan pemahaman kepada peniaga mengenai kriteria yang ditetapkan MBSA dan memupuk kesedaran mengenai nilai murni dalam pengendalian dan kebersihan penyediaan makanan dan minuman.” katanya.


Pengarang :