Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) menunjukkan buku Kod Etika Wartawan Malaysia sempena majlis peluncuran di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada 20 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Draf rang undang-undang tubuh Majlis Media Malaysia di peringkat akhir

PUTRAJAYA,20 FEB: Draf rang undang-undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia kini di peringkat fasa terakhir untuk dibawa ke kabinet.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata usaha penubuhan majlis itu mengambil sedikit masa berikutan melibatkan Jabatan Peguam Negara selain memerlukan kelulusan jemaah menteri.

“Usaha kerajaan dalam memastikan pengamal media yang pertama adalah tambah baik kod etika. Kedua adalah kerajaan dalam fasa terakhir untuk bawa RUU penubuhan Majlis Media Malaysia.

“Ia ambil masa sedikit tetapi insya-Allah tidak berapa lagi. Saya berharap dengan adanya majlis ini akan memastikan tahap kewartawanan berada pada tahap tinggi,” katanya pada majlis peluncuran buku Kod Etika Kewartawanan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perbincangan akan diadakan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Pertubuhan Keselamatan Sosial mengenai isu kebajikan wartawan sambilan.

“Kita difahamkan daripada 9,750 pemegang kad akuan media, lebih 6,000 adalah wartawan sambilan. Kumpulan ini agak besar dan aspek kebajikan Perkeso sedang dalam pertimbangan,” katanya.


Pengarang :