ADN Pelabuhan Klang , Azmizam Zaman Huri bercakap kepada Media Selangor ketika program Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Econsave Pandamaran, Klang pada 3 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Negeri naik taraf kunci air di Pulau Indah, atasi risiko banjir jika air pasang

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 3 FEB: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan untuk menaik taraf kunci air di Pulau Indah dalam usaha menyelesaikan isu banjir di kawasan sekitar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata pada masa sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang merancang menaik taraf kunci air di Telok Gong bagi mengelak banjir jika berlaku hujan lebat dan air pasang.

“JPS sedang buat kajian reka bentuk paling sesuai digunakan di Teluk Gong untuk mengurangkan risiko banjir kilat apabila berlaku air pasang tinggi dan hujan lebat.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan sentiasa berusaha mengurangkan risiko banjir dengan melaksanakan pelan tebatan sama ada untuk jangka pendek atau panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Econsave Pandamaran.

Terdahulu, seramai 400 keluarga di DUN Pelabuhan Klang menerima baucar beli-belah bagi meringankan beban mereka membuat dalam persiapan akhir perayaan Tahun Baharu Cina.

Azmizam berkata pihaknya membuat saringan bagi memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima sumbangan RM200 daripada Kerajaan Negeri.


Pengarang :