AGENDANASIONAL

Orang ramai dipelawa meriahkan program rewang Taman Pandan Jaya, Ampang esok, Ahad

SHAH ALAM, 23 FEB: Dato’ Menteri Besar mempelawa orang ramai memeriahkan program rewang anjuran Kerajaan Negeri di Padang Awam, Taman Pandan Jaya, Ampang esok dan Ahad ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti selawat, marhaban, sukan rakyat, futsal, tarik tali dan cabutan bertuah buat pengunjung.

“Jangan lupa sertai aktiviti rewang serta forum “Keluarga Sakinah Pemangkin Komuniti Sejahtera” khusus buat masyarakat Ampang.

“Insya-Allah, kita jayakan majlis ini bersama,” ciapnya di laman X.

Terdahulu, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata RM500,000 diperuntuk untuk menganjurkan Rewang Komuniti Strata tahun ini di beberapa lokasi di seluruh negeri.

“Setiap program mungkin kita belanja antara RM70,000 ke RM100,000 bergantung kepada kawasan. Insya-Allah, selepas ini kita ke Selayang, Subang Jaya dan beberapa lagi kawasan yang akan disenaraikan nanti,” katanya.

Pada 18 November tahun lalu, Borhan berkata Ampang dan Hulu Langat dipilih sebagai kawasan perintis Rewang Komuniti Strata.

Jelas beliau, program itu akan menjadi acara tahunan melibatkan semua kawasan strata di Selangor jika mendapat sambutan.


Pengarang :