Foto lima beradik Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid yang menghiasi dinding Pameran Anak-Anak Sidek: Legenda Badminton Negara dirakam pada 7 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PADAT, Nusa Mahsuri anjur klinik badminton pada 3 Mac, peserta umur 10 hingga 16 tahun

SHAH ALAM, 22 FEB: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bersama kelab badminton Nusa Mahsuri menganjurkan klinik badminton pada 3 Mac depan.

Agensi itu memaklumkan program sempena Pameran Anak-anak Sidek itu terbuka kepada 50 peserta terawal berumur 10 hingga 16 tahun sahaja.

“Klinik badminton PADAT dan Nusa Mahsuri ini akan diadakan di Dewan Badminton Kelab Sukan SUK Selangor bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang,” katanya menerusi Facebook.

Menurut PADAT, yuran pendaftaran adalah sebanyak RM50 dan perlu dibayar ketika hadir ke program berkenaan selain penganjur akan menyediakan makanan dan baju t-shirt
.
PADAT juga menyeru setiap peserta supaya menepati masa bagi memastikan kelancaran program yang akan dikendalikan lagenda badminton negara Datuk Misbuk Sidek itu.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan berikut https://docs.google.com/forms/d/1v12-SmNirihxhQL0Y9ccwNbSxr_zrz2B7PMORZF7p3Q/viewform?edit_requested=true

Pameran Anak-anak Sidek yang diadakan sehingga 30 April depan menceritakan kisah kejayaan keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar yang berjaya membentuk lima anak lelakinya sebagai pemain badminton ternama dunia.

Allahyarham hanya melatih Misbun, Razif, Jalani, Abdul Rahman dan Abdul Rashid di gelanggang kediamannya di Kampung Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat.

Antara koleksi dipamerkan adalah pingat kejuaraan kejohanan dunia World Cup Badminton, Men Doubles Winne, All England, Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea dan cenderamata dihadiahkan kepada mereka lima beradik.

Sebagai tarikan, sepanjang pameran itu berlangsung turut diadakan pertandingan teka bulu tangkis, kuiz, pertandingan mewarna dan klinik badminton.


Pengarang :