EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika Majlis Pelancaran Projek Pemasangan Panel Solar di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 21 Februari 2024. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin
EXCOSELANGOR

Pasang panel solar, Selangor komited tangani perubahan iklim

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan Negeri komited menangani perubahan iklim termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui pemasangan panel solar di bangunan pentadbiran.

EXCO alam sekitar berkata selain bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), tiga Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) telah selesai proses pemasangan manakala enam PDT lagi bermula akhir bulan ini.

“Pelbagai proses konsultansi dan perbincangan Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta GSPARX Sdn Bhd, pemeteraian perjanjian Tripartite telah dapat dimuktamadkan.

“Pemeteraian perjanjian ini menandakan satu pencapaian penting dalam mempraktikkan amalan hijau dan membawa Kerajaan Negeri melangkah setapak lagi ke arah merealisasikan agenda rendah karbon,” kata Jamaliah Jamaluddin menerusi kenyataan di Facebook.

Pemasangan panel solar di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

Tambah beliau, pemasangan juga mula dilaksana di peringkat pihak berkuasa tempatan melibatkan bangunan dan kemudahan termasuk dewan, pasar serta taman awam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi anak syarikat, Worldwide Holdings Berhad juga aktif meneroka projek RE dengan membangunkan ladang solar berskala besar terapung yang kini dalam fasa pelaksanaan di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

“Kerajaan Negeri menyeru semua pihak terutamanya jabatan dan agensi untuk meneroka dan melaksanakan inisiatif pemasangan panel solar di bawah program yang ditawarkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) seperti Program Net Energy Metering (NEM) yang bersesuaian dalam usaha ke arah merealisasikan agenda rendah karbon,” katanya.

Jamaliah menambah Kerajaan Negeri juga sentiasa komited dalam usaha melestarikan alam sekitar terutama dalam mendepani kesan perubahan iklim.

“Usaha ini akan diteruskan bagi menyokong usaha negara dan global dalam mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 dan sifar karbon seawal tahun 2050,” katanya.

 


Pengarang :