Pemandangan runtuhan masjid dan kediaman penduduk Palestin yang musnah akibat serangan Israel di tengah Semenanjung Gaza pada 29 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Peguam Algeria fail saman terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa

ISTANBUL, 3 FEB: Sekumpulan peguam di Algeria pada Sabtu memfailkan tuntutan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague terhadap pegawai-pegawai Israel yang terlibat dalam jenayah genosid ke atas rakyat Palestin.

Algerian National Union of Bar Associations memaklumkan tuntutan mahkamah itu turut ditandatangani persatuan peguam Tunisia, Jordan, Mauritania dan Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Tuntutan mahkamah itu berdasarkan dokumentasi yang dikumpul daripada sumber sahih termasuk foto dan video yang merakamkan perbuatan jenayah Israel di Semenanjung Gaza.

Ini termasuk dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kumpulan antarabangsa dan perintah terbaharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan bukti munasabah berhubung jenayah genosid di Gaza.

Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS

ICJ pada 26 Januari mendapati dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel melakukan genosid adalah munasabah.

Mahkamah mengeluarkan perintah sementara menggesa Israel menghentikan sekatan bantuan ke Gaza dan memperbaiki situasi kemanusiaan.

Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 27,131 rakyat Palestin dan mencederakan 66,287 lagi.

— BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :