Seramai 57 peguam syarie baharu bergambar selepas pentauliahan yang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) pada 8 Februari 2024. Foto Jakess
AGENSISELANGOR

Peguam syarie perlu kekal etika, jangan lengah kes untuk raih untung

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 8 FEB: Peguam syarie negeri ini diingatkan untuk tidak melengah-lengahkan kes anak guam dengan sengaja demi meraih keuntungan sekali gus mengelak peningkatan kes tertunggak.

Ketua Hakim Syarie Selangor berkata peguam syarie juga perlu memberi nasihat terbaik kepada anak guam supaya dapat menyelesaikan kes yang difailkan melalui sulh atau persetujuan bersama.

“Dengan cara ini, lebih banyak kes dapat diselesai cepat. Ia juga mengelak berlakunya peningkatan tunggakan kes setiap tahun.

“Tanpa komunikasi yang baik, input maksimum tidak dapat diperoleh dan akan menyebabkan pelbagai prosiding tergendala,” kata Dato’ Mohammad Adib Husain pada majlis perasmian pentauliahan dan penyampaian sijil peguam syarie Selangor hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menasihati peguam syarie perlu kekal etika serta tidak terlalu ghairah menggunakan media sosial sebagai medium perkongsian kes yang dikendali.

“Sebagai peguam syarie di era teknologi dan capaian maklumat tanpa had ada dalam kalangan mereka menggunakan medium media sosial untuk dapatkan populariti dengan menjaja fakta kes anak guam masing-masing.

“Berhati-hati dengan pemasaran yang dilakukan kerana perkara terbaik sebenarnya melalui prestasi bukannya melalui media sosial,” katanya.

 


Pengarang :