AMPANG JAYA, 18 FEB: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM190,000 kepada 51 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata seramai 20 individu terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan golongan kurang berkemampuan di setiap DUN menerima RM150.
“Antara DUN yang menerima sumbangan hari ini termasuk Sungai Tua, Bukit Antarabangsa, Lembah Jaya, Taman Templer, Gombak Setia, Paya Jaras dan Parlimen Gombak.
“Sebelum ini sumbangan selesai di beberapa zon termasuk Klang pada minggu lalu,” katanya selepas program Sumbangan Tahun Baharu Cina Berpusat Pekawanis di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.
Masdiana berharap sumbangan diagihkan dapat meringankan beban golongan memerlukan sempena Tahun Baharu Cina.
“Pekawanis juga akan terus giat melaksanakan program terutama bagi menyantuni golongan memerlukan ini ketika musim perayaan,” katanya.
Penerima Donna Choo, 68, berkata beliau gembira dengan sumbangan itu dan menyifatkan semua kaum dirai dan tiada siapa dipinggirkan di negeri ini.
“Memang saya amat gembira. Bolehlah beli barang keperluan untuk berkongsi dengan anak cucu,” katanya.
Toh Keng Chim, 70 berkata ibunya Lim Kim Foong, 91, sangat gembira bila mendapat panggilan menjadi penerima sumbangan itu dan mahu menggunakannya untuk membeli barangan dapur.
“Diharap program seperti ini diteruskan dan lebih ramai lagi dapat sumbangan,” katanya.