Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad berkenan melawat Siti Khomisah Keling, 58, yang menghidap penyakit kencing manis ketika Ziarah Kasih Pekawanis bersama Tengku Permaisuri Selangor ke Anjung Utara Selangor di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 22 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis peruntuk RM52,000 jayakan program Ziarah Medik tahun ini

SABAK BERNAM, 23 FEB: Sejumlah RM52,000 diperuntuk Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bagi menjayakan program Ziarah Medik pada tahun ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata seramai 210 pesakit kronik terlantar di seluruh daerah bakal menerima bantuan berkenaan.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad bercakap kepada media selepas lawatan Pasar Budaya Palong di Parit Lapan, Sungai Panjang, Sabak Bernam pada 22 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita sediakan peruntukan sama seperti tahun sebelumnya dan akan adakan lawatan ke setiap kediaman pesakit. Kita tidak sasar ramai kerana kekangan masa dan bantuan disampaikan ahli Pekawanis di daerah masing-masing.

“Menariknya program yang memasuki tahun ketiga ini dihadiri Tengku Permaisuri Selangor. Baginda berkenan menyampaikan bantuan wang tunai kepada pesakit,” katanya ditemui pada program Ziarah Kasih Pekawanis di anjung utara Selangor, semalam.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli bertemu rakyat menerusi program tersebut yang diadakan selama dua hari.

Sementara itu, seorang pesakit kencing manis Siti Khomisah Keling, 58, menyifatkan Tengku Permaisuri Selangor berjiwa rakyat dan tidak kekok bertemu serta beramah mesra dengan penduduk.

Penghidap penyakit keicing manis, Siti Khomisah Keling, 58. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya sangat terharu dan bersyukur dapat bertemu dengan Baginda selain dapat bercerita masalah dihadapi sejak kehilangan kedua-dua kaki kerana perlu dipotong akibat kencing manis.

“Dengan adanya kunjungan ini, saya harap ada pihak sudi bantu kerana tiga kali seminggu perlu jalani dialisis, semuanya memerlukan kos yang agak tinggi,” katanya.

Program Ziarah Medik yang memasuki tahun ketiga mengutamakan pesakit dari kalangan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dan golongan kurang berkemampuan (B40).

Pada tahun ini, selain melawat di kediaman, Pekawanis menerusi Ziarah Medik akan berkunjung ke hospital bergantung kepada keadaan pesakit.


Pengarang :