Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan sempena persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelabuhan ketiga pastikan sektor perkhidmatan negara kekal unggul

SHAH ALAM, 28 FEB: Pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey akan memastikan Malaysia terus menjadi penyedia perkhidmatan pelabuhan unggul dan premium di rantau ini.

Dato’ Menteri Besar berkata rancangan bawah Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) itu juga bakal memberi pulangan ekonomi berterusan kepada negeri.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kebolehlaksanaan projek dalam peringkat cadangan itu disediakan Lembaga Pelabuhan Klang dan diluluskan Kementerian Pengangkutan.

“Pada tahap ini kita juga sedang meneliti praperjanjian dengan beberapa pihak dan serahkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor untuk meneliti kerjasama pembangunan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berhubung status pembangunan Pelabuhan Pulau Carey dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata hasrat pembangunan pelabuhan itu dinyatakan kerajaan persekutuan sejak 2014 bagi memastikan Malaysia terus kompetitif dengan pesaing dan penyedia perkhidmatan pelabuhan serantau.

Jelasnya lagi, negara memerlukan rangkaian tersendiri dan tidak boleh bergantung kepada Pelabuhan Utara dan Barat sahaja kerana ia tidak mencukupi untuk masa akan datang.

“Dari Pulau Carey ke Pelabuhan Utara keluasan diangarkan seperti Singapura. Saiz sebesar itu akan mampu menawarkan perkhidmatan jauh lebih baik dan premium.

“Jika tidak (ada pembangunan pelabuhan Pulau Carey) kita hanya akan menjadi penyendal dan kapal-kapal dagang akan memilih pelabuhan yang lebih besar,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembangunan terminal ketiga di Pulau Carey bakal memberi nilai tambah kasar sekitar sekitar RM40.2 bilion menjelang 2060.


Pengarang :