Pemandangan dari udara kelihatan barisan kontena yang dieksport masuk ke Malaysia dan kemudahan yang tersedia di Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang. Foto westportholding.com
AGENDANASIONAL

Pelabuhan Klang kendali kontena 14.06 juta TEU, tertinggi dalam sejarah

PUTRAJAYA, 23 FEB: Pelabuhan Klang mencatatkan jumlah pengendalian kontena tertinggi dalam sejarah iaitu 14.06 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2023 berbanding 13.22 juta TEU pada 2022, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor pula telah mengendalikan 10.48 juta TEU pada 2023 berbanding 10.51 juta TEU pada 2022.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada sidang media selepas sesi lawatan kerja ke Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya pada 7 Februari 2023. Foto BERNAMA

“Pelabuhan Klang dan PTP terus kekal sebagai 20 pelabuhan utama dan tersibuk di dunia. Prestasi cemerlang (merujuk kepada TEU) mencerminkan kepesatan ekonomi Malaysia sebagai komponen penting dalam rantaian bekalan dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sua Kasih MADANI Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Loke berkata, nisbah kargo pemunggahan dan kargo tempatan di Pelabuhan Klang telah berubah daripada 70:30 pada 2014 kepada 55:45 pada tahun lepas.

Kargo pemungggahan merujuk kepada proses pemindahan barangan dari satu kapal ke kapal lain tanpa melalui pintu kastam manakala kargo tempatan merujuk kepada barangan yang dihasilkan atau diperoleh dalam negara.

Bagi membina ekosistem penyediaan bahan api lestari di rantau Asia Tenggara, beliau berkata PTP telah berbincang dengan syarikat logistik Maersk dan Petronas dalam pembinaan bekalan metanol hijau dengan kerjasama inisiatif ‘Partnerships for Infrastructure’ oleh kerajaan Australia.

“Komitmen MOT dalam penyediaan pelayaran mampan dan hijau adalah selaras dengan hasrat kerajaan mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada 2050,” katanya.

Mengenai pencapaian sektor udara, Loke berkata terdapat peningkatan penumpang antarabangsa dan domestik sebanyak 10.7 peratus pada Januari 2024 berbanding Januari tahun lepas.

Malaysia juga mempunyai 147 penerbangan yang menghubungkan seluruh dunia berbanding 121 destinasi pada 2022.

Loke berkata ketibaan pelancong di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut mencatatkan peningkatan 32 peratus pada Januari 2024, mencerminkan kejayaan pengecualian visa 30 hari kepada pelancong China dan India berkuat kuasa 1 Dis 2023.

Sementara itu beliau berkata Jabatan Pengangkutan (JPJ) mencatatkan penambahan kutipan hasil sebanyak 3.53 peratus daripada RM4.90 bilion pada 2022 kepada RM5.07 bilion pada 2023.

Bagi kategori bayaran tender nombor pendaftaran, kutipan hasil meningkat daripada RM501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta pada 2023.

“Peningkatan hasil ini termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF, M_M yang dilancarkan pada Mei 2023 dan Ogos 2023.

“Untuk siri GOLD, JPJ merekodkan lebih RM17.24 juta hasil kutipan termasuk GOLD 1 yang berjaya dibida oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan harga RM1.5 juta,” kata Loke.

— BERNAMA


Pengarang :