ADN Kota Anggerik Najwan Halimi menyerahkan komputer riba kepada Morilham Mustafa yang mewakili anaknya disaksikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor di Pusat Khidmat DUN Kota Anggerik, Shah Alam pada 26 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pelajar IPT syukur terima komputer riba percuma, bantu pembelajaran

SHAH ALAM, 26 FEB: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik bersyukur apabila menerima sumbangan komputer riba dari Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Pelajar tahun satu Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, Muhamad Adam Zarkasyi, 22, berkata bantuan itu membantunya dalam proses pembelajaran.

“Saya amat memerlukan peranti ini memandangkan komputer riba saya telah rosak. Sumbangan ini akan membantu proses pengajian saya dalam jurusan Pengurusan Hotel.

Muhamad Adam Zarkasyi

“Saya berterima kasih kepada MBI atas pemberian bermakna ini termasuk Pusat Khidmat DUN kota Anggerik yang membantu saya membuat permohonan,” katanya pada majlis penyerahan peranti tersebut di sini hari ini.

Terdahulu, wakil rakyat DUN berkenaan Najwan Halimi dan Ketua Tanggungjawab Sosial MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan komputer riba kepada 11 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Pelajar jurusan Multimedia tahun akhir, Nooratiqah Batrisyia, 21, dari Universiti MAHSA Petaling Jaya pula berharap sumbangan itu dapat membantunya memperoleh keputusan cemerlang.

Nooratiqah Batrisyia

“Peranti ini boleh membantu saya dalam menyiapkan tugasan dalam subjek yang diambil dalam kursus Multimedia.

“Ia memandangkan saya terpaksa bergantung komputer riba lama saya yang tidak menyediakan kemudahan ‘software’ (perisian) terkini. Saya sangat hargai sumbangan MBI ini,” katanya.

Bagi ibu penerima, Morilham Mustafa, 51, sumbangan itu dapat meringankan beban dan menjimatkan kos perbelanjaan pengajian anaknya, Arrisya Khadeja, 19, di Politeknik Kota Bharu.

“Ia memandangkan saya kena menanggung perbelanjaan kos pengajian dua orang anak saya termasuk Arrisya yang semakin tinggi.

“Jadi, saya rasa amat bersyukur dengan pemberian dari MBI dan bantuan Pusat Khidmat DUN Kota Angerik,” katanya.


Pengarang :