AGENDAJENAYAH

Pembantu kedai rugi lebih RM500,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

KUANTAN, 5 FEB: Pembantu kedai berputih mata selepas mengalami kerugian RM521,000 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 39 tahun itu pada mulanya tertarik untuk menyeratai skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan 15 peratus menerusi laman Facebook pada Disember lalu.

Beliau berkata mangsa kemudian membuat pendaftaran melalui laman web “JTFSE” yang merupakan platform saham bagi tujuan pelaburan sebelum berjaya mengeluarkan wang keuntungan RM1,000 selepas melabur RM50,000.

“Seterusnya mangsa menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga untuk memindahkan wang berjumlah RM521,000 dengan 15 transaksi ke empat akaun berbeza bermula 25 Januari hingga Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM 1,767,258 melalui laman web berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan muda terpengaruh dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

– BERNAMA


Pengarang :