Pegawai Peka B40 Protecthealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mohd Bakri Adam memberi taklimat berhubung Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (Peka B40) sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Penerima Peka B40 diseru manfaat saringan percuma, cegah penyakit awal

KUALA SELANGOR, 25 FEB: Penerima Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (Peka B40) diseru memanfaat saringan kesihatan percuma sebagai langkah pencegahan awal penyakit.

Pegawai Peka B40 Protecthealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata statistik menunjukkan hanya 17.93 peratus daripada 6.6 juta penerima yang layak menggunakan peluang itu sejak diperkenal pada 2019.

“Mereka yang buat saringan buat masa ini tidak sampai dua juta orang. Jadi penting untuk rakyat Malaysia mengambil langkah pencegahan berbanding penyembuhan.

“Apabila kita ambil langkah pencegahan seperti buat saringan, insya-Allah kita dapat kenal pasti penyakit lebih awal. Saya nasihatkan mereka yang layak menggunakan manfaat percuma ini.

“Inisiatif ini sebenarnya membantu golongan B40 yang tidak mampu. Mereka tidak akan ke klinik swasta untuk buat pemeriksaan kesihatan kerana kosnya memakan ratusan ringgit,” kata Mohd Bakri Adam.

Beliau ditemui pada sesi taklimat Peka B40 sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.

Pegawai Peka B40 Protecthealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mohd Bakri Adam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Peka B40 bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

Inisiatif itu memberi manfaat pemeriksaan kesihatan komprehensif secara percuma, bantuan alat perubatan (sehingga RM20,000) dan insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000).

Dalam pada itu, Mohd Bakri mendedahkan kira-kira tujuh juta rakyat lapisan umur negara ini dijangka menghidap kencing manis tahun depan, angka yang disifatkan membimbangkan.

Beliau menjelaskan unjuran berdasarkan kajian KKM mengambil kira trend semasa amalan pemakanan dan gaya hidup masyarakat yang mengabaikan aspek berkaitan.

“Kencing manis boleh dihidap sesiapa sahaja, bukan hanya warga emas tetapi golongan berusia 20 hingga 30 tahun termasuk kanak-kanak. Ini semua bergantung kepada pemakanan dan gaya hidup.

“Kita menekankan bersukan itu penting kerana boleh memastikan darah sihat selain memastikan glukosa dalam tubuh menyahtoksik semua bahan-bahan tidak efektif,” katanya lagi.


Pengarang :