AGENDANASIONAL

Penghantar makanan maut motosikal terbabas, langgar pembahagi jalan

GEORGE TOWN, 20 FEB: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditungganginya disyaki terbabas sendiri dan terlanggar pembahagi jalan ketika melalui Jalan Bukit Gambir, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata mangsa merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun dan berasal dari Balik Pulau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedaraan parah.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 3.30 petang memaklumkan mengenai kemalangan itu dan berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian mangsa datang dari arah Bukit Jambul menghala ke Jalan Yeap Chor Ee melalui Jalan Bukit Gambir.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

“Akibat daripada impak perlanggaran, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

— BERNAMA


Pengarang :