SHAH ALAM, 16 FEB: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menjual barangan asas pada harga murah berlangsung di empat tempat hari ini.
Bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari, jualan diadakan di pekarangan Balai MPKK Kampung Parit Serong (Permatang), Desa Pinggiran Putra (Sungai Pelek), IPD Subang Jaya (Subang Jaya) dan padang permainan Perkampungan Orang Asli Tekala (Semenyih).
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 daripada Malaysia Book of Records (MBOR) berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.