PETALING JAYA, 17 FEB: Permohonan Bantuan Kembali ke Sekolah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dibuka mulai minggu depan, kata ketua pegawai eksekutifnya.
Menurut Saipolyazan M Yusop, program yang membantu 16,800 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) boleh dimohon di pejabat wakil rakyat atau penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Minggu depan program bantuan khusus untuk penyediaan kelengkapan sekolah bernilai RM100 akan bermula membabitkan seluruh ahli dewan negeri dan penyelaras DUN.
“Kuota setiap dewan undangan negeri adalah seramai 300 penerima dan mereka boleh membuat permohonan untuk membeli pakaian sekolah atau kelengkapan yang diperlukan,” katanya.
Beliau ditemui pada program berkhatan anjuran bersama MBI, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damansara dan Pusat Perubatan Ara Damansara.
Baru-baru ini, MBI memaklumkan RM1.7 juta diperuntuk kepada 16,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk sesi persekolahan tahun ini.
Tahun lalu, anak syarikat negeri itu memperuntuk lebih RM10 juta bagi memperkasa sektor pendidikan merangkumi Program Tuisyen Rakyat Selangor, bantuan sekolah dan sumbangan prasarana.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pemerbadanan itu menyalur bantuan RM25.5 juta kepada agensi pendidikan antara 2021 hingga tahun lalu.