Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika sidang media bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 5 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Persempadanan semula Selangor-KL dimuktamad tahun depan

SHAH ALAM, 5 FEB: Penyelesaian isu persempadanan semula Selangor dan Kuala Lumpur akan dimuktamadkan melalui satu memorandum persefahaman (MOU) tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata perbincangan pihaknya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memutuskan persempadanan itu melibatkan 19 kawasan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata MOU tersebut menumpu penyelesaian aspek pembayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Menjelang 2025 beberapa urusan perlu dimuktamadkan memandangkan persempadanan semula Selangor-KL agak rumit kerana melibatkan kawasan premis dan pembinaan.

“Kedua-dua pihak masih lagi meneliti asas perjanjian lepas tahun 1969, 1971 dan penyerahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk memastikan kedaulatan setiap tapak di Selangor-KL terpelihara.

“Setakat ini yang telah dibincangkan 19 kawasan melibatkan lokaliti di Gombak, Hulu Langat dan Ampang. Dua hingga tiga kawasan masih dalam perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan dua MOU telah ditandangani sebelum ini bersama dua menteri wilayah pentadbiran terdahulu yang menumpukan pengiraan ukuran kawasan sempadan.

“MOU ketiga ini akan lebih terperinci akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ia melibatkan pembahagian sempadan negeri dan tidak ada kaitan dengan kawasan pilihan raya,” katanya.


Pengarang :