Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Dengkil di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sepang pada 31 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peruntuk RM547,000 subsidi jualan murah pada Januari, catat nilai jualan RM1.64 juta

SHAH ALAM, 18 FEB: Sejumlah RM547,000 subsidi diperuntuk menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata nilai jualan terkumpul di 46 lokasi JER seluruh Selangor pada bulan sama adalah RM1.64 juta.

“Awal Januari lalu, jualan berehat seketika untuk selenggara trak dan susun bekalan, namun kembali semula pada 15 Januari. Dari tempoh itu sehingga 31 Januari, jumlah subsidi direkodkan RM547,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Menerusi jualan di 46 lokasi itu, 120,000 rakyat menerima manfaat program kendalian PKPS dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN),” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Tambah beliau, PKPS akan meneruskan jualan membawa keperluan asas pada harga murah di 1,120 lokasi sepanjang tahun ini.

“Bagi persediaan menyambut Aidilfitri PKPS akan menganjurkan jualan mega selain mempertimbangkan tambahan lokasi.

“Untuk permulaan, cadangan jualan mega Aidilfitri akan diadakan pada 6 dan 7 April nanti,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Selain menganjurkan JER di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :